Jenama Haval di bawah Great Wall Motor (GWM) kini memperkenalkan secara rasmi model baharu H6L, sebuah SUV petrol yang lebih besar dan mewah berbanding H6 sedia ada. Direka untuk berada di atas varian standard, H6L menggabungkan reka bentuk dikenali Haval dengan sentuhan moden, teknologi baharu serta dimensi lebih luas yang mendekatkannya kepada segmen SUV sederhana (midsize SUV).
Berkongsi platform dengan Xiaolong Max, H6L mengekalkan bentuk anggun dan seimbang sambil menerima beberapa penambahbaikan pada gaya luaran. Bahagian hadapan kini menampilkan gril baharu dengan corak jaring moden dan bukaan udara sisi lebih besar, menjadikannya kelihatan lebih tegap dan berkeyakinan.
Ciri lampu bar penuh di depan dan belakang, bersama logo HAVAL yang menyala, menambahkan elemen futuristik pada rekaan. Melengkapkan gaya luaran ialah trim tingkap berwarna hitam, rekaan rim aloi berbentuk kelopak, dan bampar belakang bersih dengan ekzos tersembunyi.
Dari segi saiz, H6L berukuran 4,800 mm panjang, 1,895 mm lebar dan 1,730 mm tinggi, dengan jarak roda 2,810 mm. Ini menjadikannya jauh lebih panjang daripada H6 yang dijual di Malaysia ketika ini. Pertambahan dimensi tersebut memberi lebih ruang kabin dan keselesaan pemanduan, menjadikan H6L pilihan ideal untuk keluarga dan perjalanan jarak jauh.

















