Piston.my

Peugeot 408 Baharu Dilancarkan Secara Rasmi Dari RM146,055

Peugeot yang merupakan jenama di bawah Stellantis akhirnya melancarkan Peugeot 408 serba baharu pemasangan tempatan. Tampil bersama rekaan terkini dan padat dengan kejuteraan serta teknologi termaju, Peugeot 408 serba baharu menandakan masa depan yang lebih mengujakan untuk Peugeot di pasaran automotif Malaysia. Ia juga menjadi model Peugeot pertama yang dilancarkan oleh Stellantis Malaysia.

Peugeot 408 serba baharu menyerlahkan perubahan radikal berbanding model terdahulu yang membolehkannya memenangi anugerah reka bentuk terbaik Red Dot 2023 yang berprestij. Gayaan luaran Peugeot 408 serba baharu direka berdasarkan kepada manifesto rekaan baharu iaitu ‘The Language of Attraction’ yang menunjukkan kelahiran semula jenama Peugeot yang menggabungkan tiga nilai utama iaitu Memikat (Allure), Emosi (Emotion) dan Kecemerlangan (Excellence).

“Allure” yang Peugeot definisikan sebagai “keterujaan dan penuh tarikan” adalah nilai utama dan mewakili segala yang dilakukan oleh jenama ini. Peugeot 408 serba baharu sememangnya mewakili konsep “Allure” dan sukar dijangka kerana ia mendefinisikan kembali segmennya dengan rekaan luaran yang cukup radikal. 

Siluet fastback yang dinamik itu bukan sekadar sangat estetik, malah ia menyerlahkan garis badan dengan elemen singa yang disalurkan menerusi pelbagai elemen gayaan. Reka bentuk yang menawan ini menunjukkan hala tuju rekaan masa depan kenderaan Peugeot. 

Allure

Melihat dari arah hadapan, Peugeot 408 serba baharu mengetengahkan emblem jenama yang terkini. Ia diletakkan di tengah-tengah yang nyata nampak harmoni bersama gril jeriji vertikal yang diwarnakan dengan warna badan. Suluhan cahaya pula dihasilkan oleh Peugeot Signature Light serba baharu – kluster lampu utama LED tersendiri yang turut merangkumi sepasang jalur lampu nyalaan siang berbentuk taring singa. Varian GT dilengkapi lampu utama dengan teknologi Matrix LED yang menampilkan fungsi lampu tinggi automatik untuk suluhan cahaya optimum dalam suasana gelap. 

Beralih daripada profail sisi dinamik kepada garis bumbung yang condong, engsel berlekuk pada Peugeot 408 serba baharu digabungkan dengan rekaan telinga kucing (Cat Ears) untuk menghasilkan koridor aerodinamik yang optimum pada lid spoiler. 

Peugeot 408 serba baharu menampilkan rekaan tiga cakaran 3D yang tersendiri, lampu LED belakang diserlahkan lagi dengan lekuk pada bampar belakang. Elemen rekaan ini disertakan dengan ciri-ciri inovatif lain pasti membuatkan orang berpaling untuk melihat Peugeot 408 serba baharu yang memberikan impresi yang berpanjangan. 

Dibina berasaskan kepada EMP2 (Efficient Modular Platform) multi-tenaga, Peugeot 408 serba baharu memiliki dimensi 4,687mm panjang, 1,859mm lebar dan tinggi 1,487mm. Dengan jarak roda sepanjang 2,787mm dan kelegaan tanah setinggi 189mm, ia memberikan penampilan yang gagah di atas jalan raya. 

Pengalaman pemanduan Peugeot 408 yang mengujakan itu datang daripada enjin PureTech turbo 1.6 liter baharu yang canggih. Enjin tersebut yang mampu menjana kuasa sehingga 218hp pada 5,750rpm dan tork 300Nm pada 2,000rpm yang dipadankan dengan transmisi automatik EAT8 8-kelajuan pintar. Pantas dan lincah, PEUGEOT 408 serba baharu mampu memecut dari titik pegun ke 100km/j dalam masa hanya 8.8 saat. Gabungan itu memberi peluang kepada pemandu untuk menikmati prestasi yang luar biasa.

Dengan prestasi mendahului kelasnya yang digabungkan bersama profail sebuah fastback yang dinamik, Peugeot 408 serba baharu bukanlah sebuah sedan atau SUV. Sebaliknya, ia berada di dalam segmen tersendiri. 

Bucu-bucu tajam dan elemen rekaan yang mendefinsikan siluet jentera ini dapat dilihat dengan jelas terutama pada bahagian belakang, hujung bumbung dan bahagian sisinya.  

Peugeot 408 serba baharu hadir dalam empat pilihan warna menarik – hitam (Perla Nera Black), putih (Okenite White), kelabu (Artense Grey) dan biru (Obsession Blue) bersama tiga kemasan atau varian berbeza iaitu Allure, Premium dan GT.

Varian Allure dilengkapi rim Granite Grey bersaiz 18-inci, manakala varian Premium menerima rim Granite Black 18-inci. Pelanggan boleh meningkatkan penampilan jentera ini dengan rim Monolithe Black bersaiz 20-inci yang eksklusif untuk varian GT. Ia turut hadir dengan pelbagai ciri-ciri eksklusif seperti berikut: 

  • Lampu utama Matrix LED dengan ciri Automatic Beam
  • Lampu belakang LED bersama 3D ‘Claw Effect’
  • Kluster Meter Digital 3D Quartz 
  • Ciri sentuhan i-Toggles yang boleh dikonfigurasikan
  • Sistem Hi-Fi Premium FOCAL
  • Kamera 360°
  • Tempat duduk yang mendapat perakuan daripada AGR dan ciri memori untuk pemandu 
  • Fungsi urutan multi-spot untuk penumpang hadapan dan pemandu

Apabila masuk ke dalam ruang kabin Peugeot 408 baharu yang luas dan moden ini, pemandu disambut oleh kecanggihan sistem Peugeot i-Cockpit. Rekaan papan pemuka Peugeot 408 baharu adalah berasaskan kepada seni bina “High Vents” yang meletakkan semua corong ventilasi penting pada tahap optimal untuk menambah baik aspek keselesaan suhu kepada semua penumpang di dalam kabin. Di bahagian atas stereng bersaiz kompak itu pula, pemandu dihidangkan dengan kluster instrumen digital bersaiz 10-inci lengkap bersama teknologi 3D serta pilihan paparan yang boleh dipersonalisasi bagi varian GT.  

Konsol tengah yang tampil minimalis menyerlahkan rekaan dinamik dan bersih. Tombol kawalan gear utama ditetapkan menerusi tuil satu sentuhan untuk gear Reverse (R), Neutral (N) dan Drive (D), manakala butang Parking (P) diposisikan secara berasingan. Pilihan Mode Pemanduan (Driving Mode) iaitu Eco, Normal atau Sport membolehkan pemandu menikmati pengalaman pemanduan Peugeot 408 serba baharu yang mengujakan. Sekali gus merasai sendiri kualiti dinamik pemanduan dan kawalannya. 

Skrin bersaiz 10-inci yang mendominasi konsol tengah itu diposisikan pada sudut yang ergonomik ke arah pemandu. Sistem tersebut merangkumi i-Toggles boleh ubah, ia disusun di bawah satu baris skrin yang menawarkan pengalaman pengguna yang intuitif. i-Toggles menyediakan jalan pintas kepada pelbagai tetapan termasuklah kawalan suhu, radio, navigasi dan banyak lagi. 

Sistem infohibur Peugeot i-Connect menjanjikan penggunaan harian yang mudah. Ia memberikan pemandu transisi daripada penggunaan telefon pintar atau tablet kepada kereta yang lancar. Sistem ini menawarkan pelbagai tetapan boleh ubah yang cukup banyak sehingga lapan profail pemandu yang berbeza. Butang utama (Home Button), antara muka menu dan sentuhan tiga jari membolehkan pemandu pergi ke paparan aplikasi seterusnya dan memudahkan aspek kawalannya.  

Fungsi pencerminan membolehkan ketersambungan dibuat dengan dua telefon pintar menerusi Bluetooth atau soket USB-C. Untuk pengguna baharu, sistem i-Connect didatangkan dengan dokumentasi binaan dalam dan tutorial bagi memastikan anda boleh meneroka semua ciri yang ada dengan mudah. 

Tempat duduk pemandu mendapat pengiktirafan daripada persatuan AGR yang pakar dalam aspek ergonomik dan kesihatan belakang badan. Ia juga menawarkan pelbagai bentuk tetapan untuk kegunaan harian yang selesa.   

Tempat duduk pemandu mempunyai 10 talaan kuasa dengan dua tetapan memori, manakala penumpang hadapan diberikan 6 pilihan tetapan. Kedua-dua tempat duduk ini didatangkan dengan sistem urutan udara 8 poket bersama lima program yang boleh dipilih, di samping sistem pemanas binaan dalam untuk keselesaan maksimum sepanjang perjalanan yang jauh. Untuk memberi sentuhan yang lebih mewah, varian GT hadir dengan balutan kulit Dynamic Black Nappa pada kerusi hadapan dan belakang. 

Untuk memberi lebih kemudahan, konsol tengah dilengkapi ciri pengecasan telefon tanpa wayar, perehat tangan, dua soket USB-C (menyokong pengecasan dan pemindahan data), dua pemegang botol minuman yang besar serta ruang penyimpanan barang seluas 33 liter. 

Peugeot 408 serba baharu menawarkan konfigurasi dua tempat duduk (60/40). Bagi varian GT, dua bahagian tempat duduk itu boleh dilipat dengan pantas menerusi dua tuil yang boleh diakses pada tepi ruang but. Apabila kerusi belakang dilipat, kapasiti ruang boleh ditingkatkan daripada 536 kepada 1,583 liter untuk varian GT dan 1,611 bagi varian Allure dan Premium. Ini termasuklah ruang penyimpanan tambahan seluas 36 liter yang ada di bahagian bawah but. 

Akses bahagian but belakang kini lebih mudah melalui beberapa cara untuk membukanya, sama ada dengan menggunakan kunci, menekan butang pada pintu atau butang di papan pemuka. Untuk kemudahan yang sebenar, varian GT hadir dengan akses bebas tangan yang boleh diaktifkan melalui pergerakan kaki di bahagian bawah bampar. Ketinggian bukaan pintu juga boleh diubah suai menggunakan butang yang ada di bahagian dalam lid but berkenaan. 

Peugeot 408 serba baharu mengutamakan kesejahteraan penumpang dengan memberi fokus kepada udara yang bersih. Penapis bercekapan tinggi yang menjadi satu ciri standard itu sentiasa menapis partikel, kulat dan bakteria yang ada di dalam kabin. Varian GT dinaik taraf dengan Air Quality System (AQS) yang menawarkan perlindungan aktif kepada pemandu dan penumpang. Sistem ini berfungsi dengan senyap, efisien dan lancar untuk menapis semua partikel berbahaya, pada masa sama mengekalkan suhu kabin yang selesa.

Dibangunkan hasil kerjasama dengan FOCAL, pakar audio terkenal dari Perancis, varian GT Peugeot 408 serba baharu dilengkapi sistem Hi-Fi Premium FOCAL yang luar biasa. Ia menerima 10 unit pembesar suara, menampilkan pelbagai teknologi eksklusif FOCAL yang telah dipatenkan. Tidak ketinggalan ialah pemproses bunyi digital ARKAMYS, empat unit dome tweeter aluminium dan satu saluran utama Polyglass bersama amplifier 690W 12-saluran untuk memberi pengalaman mendengar muzik yang mengasyikkan. 

Pengalaman mult-deria ini ditingkatkan lagi dengan fungsi lampu ambien LED yang boleh dipilih daripada 8 warna. Diletakkan di bahagian belakang skrin tengah, ia memancarkan cahaya lembut dan menjadikan atmosfera kabin lebih sofistikated.

Selain 6 beg udara, program kestabilan elektronik (ESP) dan Active Hood untuk perlindungan pejalan kaki merupakan ciri standard pada semua, varian Premium dan GT turut hadir dengan rangkaian sistem bantuan pemanduan generasi terkini yang komprehensif demi menjadikan perjalanan lebih selamat dan lancar. 

  • Kawalan Jelajah Adaptif dengan ciri Stop and Go (Adaptive Cruise Control with Stop and Go) dan ciri jarak di antara kenderaan yang boleh diubah suai. 
  • Brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran (Automatic emergency braking with collision warning): Mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu siang dan malam, dari kelajuan 7km/j hingga 140km/j bergantung kepada versi yang digunakan. 
  • Amaran perubahan laluan aktif (Active lane departure warning) dengan ciri pembetulan laluan. 
  • Amaran Kepekaan Pemandu (Driver Attention Alert): Amaran ketidakupayaan memandu selepas pemanduan yang lama dan pada kelajuan lebih 65km/j, ia menganalisa pergerakan-pergerakan kecil yang berlaku pada stereng. 
  • Pemantauan buta jarak jauh (Long-range blind spot monitoring): 75 meter.
  • Amaran Trafik Belakang (Rear Traffic Alert): Ketika mengundur, ia memberi amaran kepada pemandu jika ada bahaya dalam jarak yang dekat. 
  • Kamera undur 180° berdefinisi tinggi dengan nozel pembersihan bersepadu.
  • Bantuan parkir 360° dengan 4 kamera berdefinisi tinggi (hadapan, belakang dan sisi).

Peugeot 408 baharu ditawarkan pada harga RM146,055 untuk varian Allure, RM166,055 bagi Premium dan RM196,055 untuk model flagship GT. Harga itu termasuk jaminan selama 7 tahun atau perbatuan sejauh 200,000km, mana-mana tiba dahulu. 

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan