Piston.my

Ford Ranger Getaways Kembali Untuk Sesi Latihan dan Pengembaraan Off-Road

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal Ford di Malaysia, telah menyediakan siri baharu bagi pengembaraan off-road dan sesi latihan Ford Ranger Getaways untuk pemilik Ranger dan Ranger Raptor.

Acara pertama yang bakal berlangsung ialah Latihan Off-Road 4×4 Ranger dan Cabaran Rakit Air bertempat di Kampung Ulu Slim, Perak pada 20 April 2024 ini. Selepas itu, Latihan Kemahiran 4WD Sarawak 4×4 Training Academy (Sar4Trac) pula akan diadakan, yang bertempat di Kampung Beriang, Bau, Sarawak pada 27 April 2024.

Anjuran semula latihan 4WD tahap permulaan tersebut adalah susulan maklum balas positif yang diterima daripada pemilik Ranger dan Raptor dalam sesi sebelum ini, termasuklah Latihan Kemahiran 4WD Pemula M4TREC yang telah diadakan pada Mac lalu. Ramai peserta siri terdahulu sangat menghargai arahan dan latihan praktikal yang berkualiti dan seronok menguji sendiri kemahiran pemanduan mereka dalam persekitaran yang terkawal.

Khas untuk pemilik yang masih baharu dengan pemanduan 4×4, begitu juga untuk mereka yang berpengalaman yang ingin mempertajamkan kemahiran tersebut, Latihan Kemahiran 4WD M4TREC memberikan pengetahuan dan teknik yang diperlukan oleh peserta untuk pemanduan off-road yang selamat. Mereka juga akan lebih memahami dan membiasakan diri dengan kenderaan masing-masing untuk membolehkan potensi penuh Ranger dan Ranger Raptor diteroka dan dimanfaatkan.

Latihan Off-Road 4×4 Ranger dan Cabaran Rakit Air adalah acara yang penuh adrenalin yang akan berlangsung di Slim River, Perak. Ia menjanjikan pengalaman seharian yang seronok berlatarkan landskap alam semula jadi yang menawan di Malaysia. Acara tersebut akan dimulakan dengan latihan off-road 4×4 yang mesra pemula sebelum diteruskan dengan aktiviti rakit air di sepanjang Slim River.

Dibuka kepada empat orang untuk satu kenderaan, Latihan Off-Road 4×4 Ranger dan Cabaran Rakit Air ini akan dimulakan secara konvoi dari Ford Ara Damansara ke lokasi rakit air di Kampung Ulu Slim, Perak. Di sepanjang perjalanan, peserta akan menguji kemahiran asas 4×4 mereka dalam laluan 4×4 untuk pemula di bawah seliaan jurulatih, yang mana mereka boleh mempelajari lebih banyak tentang kemampuan Ranger mereka.

Latihan Kemahiran 4WD Sar4Trac pula terbuka untuk dua orang bagi setiap kenderaan, dan direka untuk semua pemilik yang mahu mempertingkatkan kemahiran pengendalian Ranger dan Raptor mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Ia direka untuk peminat off-road yang ingin mempertingkatkan kemahiran mengendalikan kenderaan mereka di permukaan yang lebih mencabar. Ia juga berguna untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini, yang mahu mempelajari asas pemanduan dan keselamatan off-road. Pemandu yang sudah pakar juga boleh meraih manfaat daripada latihan ini untuk keperluan pekerjaan mereka.

Pertama sekali, peserta diperlukan untuk menghadiri sesi taklimat keselamatan, asas pemanduan 4×4 dan latihan halangan yang akan mereka lalui.

Di bawah pemerhatian dan seliaan jurulatih yang berpakar, peserta kemudiannya akan melakukan latihan amali sebenar bagi semua teknik asas tersebut untuk mengatasi halangan yang ada. Halangan yang menanti termasuklah Dirt Track, Frame Twister, Mud & Gavel, Rutted Track, Ditch, Hill Ascent, Hill Descent dan Water Wading.

Semua peserta juga akan menerima sijil tamat latihan setelah selesai sesi berkenaan.

Selain daripada aktiviti yang dirancang, seperti Latihan Off-Road 4×4 Ranger dan Cabaran Rakit Air serta Latihan Kemahiran 4WD Sar4Trac, ada juga aktiviti lain yang boleh disertai oleh pemilik untuk mereka pergi sendiri. Slot untuk semua Ford Ranger Getaways adalah terhad dan untuk mereka yang mendaftar terlebih dahulu.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Ford Ranger Getaways pada April serta senarai aktiviti lainnya untuk bulan-bulan akan datang, layari platform e-dagang SDAC-Ford. Melalui platfom dalam talian ini, pemilik juga boleh memilih percutian mereka sendiri serta membuat tempahan dan bayaran.

A car stirs the soul, a motorbike is the soul. Keshy has been a motoring journalist for over a decade and has written for and founded a number of Malaysian motoring titles including Piston.my, Bikesrepulic.com, Motomalaya.net and other mass media titles.

Artikel Berkaitan