Piston.my

Volkswagen Golf GTI: Kini Dengan Sistem Audio Baru Dan Head-up Display

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini memperkenalkan Golf GTI yang telah dinaik taraf, lengkap dengan sistem audio Harman Kardon dan ciri paparan Head-up Display. Dengan peningkatan baru ini, Golf GTI kini ditawarkan pada harga RM252,990.

Sistem audio premium Harman Kardon 480-watt meningkatkan lagi ambien dalaman GTI dengan 10 unit pembesar suara. Ia mampu memberikan pengalaman bunyi keliling yang mengasyikkan dan akustik
mengagumkan. Menggabungkan aspek keselamatan dan kepekaan yang pintar, paparan head-up display memaparkan pelbagai maklumat penting pada ruang pandangan pemandu pada cermin utama. Maklumat-maklumat penting seperti kelajuan, navigasi dan sistem amaran memastikan pemandu sentiasa peka dan melihat informasi tersebut tanpa perlu mengalihkan mata mereka daripada jalan raya di hadapan.

Golf GTI ialah sebuah ikon yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia merupakan sebuah hot hatch yang menawarkan prestasi penuh kuasa dan meningkatkan pengalaman pemanduan. Jentera itu dijana oleh enjin 2.0TSI turbo berkuasa 245PS dan tork 370Nm yang dipadankan bersama kotak gear 7 kelajuan klac basah DSG. Hot hatch itu amat mudah dikenali dengan adanya gril hadapan jenis honeycomb dan kemasan GTI berwarna merah yang menjadi signatur rekaannya. Penampilan itu dilengkapkan dengan rim aloi Richmond bersaiz 18” yang sporty, angkup brek berwarna merah, serta lampu utama dan belakang LED sepenuhnya.

Hot hatch itu disempurnakan dengan IQ. Drive yang merupakan satu sistem bantuan pemandu (Driver Assistance System, DAS) inovatif yang berfungsi membantu membuatkan perjalanan lebih selamat dan selesa. IQ. Drive terdiri daripada sistem Travel Assist dan Adaptive Cruise Control (ACC) yang menggunakan radar dan pelbagai alat pengesan untuk mengesan kenderaan di hadapan. Ciri Side Assist bertindak sebagai pemantau titik buta aktif, manakala Rear Cross Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu jika wujud bahaya apabila gear undur diaktifkan.

Front Assist iaitu satu ciri Brek Kecemasan Automatik (AEB) yang menggunakan alat pengesan radar yang diintegrasikan pada bahagian hadapan GTI untuk sentiasa memantau jarak kenderaan di hadapan. Ia juga berupaya mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal yang melintas jalan. Ciri Lane Assist menggunakan sistem berasaskan kamera yang mebantu pemandu kekal dalam lorong yang betul. Sekiranya kenderaan masuk ke lorong lain tanpa pengantifkan lampu isyarat membelok, sistem ini berfungsi untuk menarik stereng kembali ke lorong asal secara automatik.

Sebagai tambahan, fungsi Adaptive Lane Guidance memastikan kereta kekal dalam lorongnya berdasarkan daripada garis jalan mengikut karakteristik pemanduan pemandu. Golf GTI disokong oleh penyelenggaraan percuma selama 5 tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun. VPCM turut memulakan program jelajah Volkswagen pertamanya untuk tahun ini di Pulau Pinang. Jelajah tersebut akan bermula pada 4 hingga 7 Januari 2024 di Queensbay Mall. Antara model yang akan dipamerkan pada jelajah itu termasuklah Golf GTI yang telah dinaik taraf, Arteon R- Line, Golf R dan Tiguan Allspace R-Line. Pandu uji juga ada disediakan sepanjang jelajah ini berlangsung.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan