McLaren Automotive telah memperkenalkan model edisi khas supercar 750S, dinamakan McLaren 750S Le Mans, sempena memperingati ulang tahun ke-30 kemenangan bersejarah mereka dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans pada tahun 1995. Penghasilan model eksklusif ini terhad kepada hanya 50 unit di seluruh dunia, menjadikannya antara kereta edisi khas paling jarang dan diidamkan dalam sejarah pengeluaran McLaren.
Pada 18 Jun 1995, McLaren F1 GTR bernombor 59, dipandu oleh JJ Lehto, Yannick Dalmas dan Masanori Sekiya, mencipta kejutan apabila muncul juara keseluruhan dalam perlumbaan ketahanan paling berprestij di dunia. Kemenangan ini turut disertai oleh tiga lagi kereta McLaren yang turut menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik—satu pencapaian luar biasa bagi penampilan sulung jenama itu di Le Mans.
Sebagai penghormatan kepada pencapaian ini, dua jentera lumba GT3 EVO berasaskan McLaren 750S kini sedang bersiap untuk bersaing dalam kelas LMGT3 pada edisi perlumbaan tahun 2025, hanya beberapa hari sebelum ulang tahun ke-30 kemenangan tersebut.