TC Subaru Sdn Bhd secara rasmi melancarkan Subaru Forester 2.5 serba baharu di Malaysia — sebuah SUV serba lengkap yang menampilkan gabungan kuasa, keselamatan dan keselesaan untuk pelbagai gaya pemanduan. Model ini merupakan sebahagian daripada barisan “Japan Premium Line”, yang bermaksud ia dihasilkan sepenuhnya di Jepun (CBU) bagi menjamin kualiti dan kebolehpercayaan terbaik.
Forester 2.5 dijana oleh enjin Boxer 2.5 liter yang menghasilkan 185PS dan 247Nm tork, dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT baharu. Gabungan ini memberikan pemanduan lebih lancar, penjimatan bahan api lebih baik, serta tindak balas kuasa yang lebih semula jadi. Sistem electric power steering yang diperbaharui menawarkan kawalan lebih sporty, manakala struktur badan yang lebih tegar memastikan kestabilan dan kesenyapan kabin dipertingkatkan.
Seperti semua model Subaru, Forester 2.5 dilengkapi dengan Symmetrical All-Wheel Drive (SAWD) dan dual-function X-MODE, membolehkannya menguasai pelbagai permukaan jalan, termasuk laluan licin dan tidak rata. Tambahan pula, Hill Descent Control dan jarak kelegaan tanah 220mm menjadikannya SUV yang sesuai untuk pemanduan bandar mahupun aktiviti luar jalan. Pemandu juga boleh memilih antara Intelligent Mode untuk pemanduan ekonomi atau Sport Mode untuk prestasi lebih bertenaga.
Bahagian dalamannya menampilkan ruang kabin yang luas dan selesa, lengkap dengan kerusi ergonomik baharu yang direka untuk mengurangkan keletihan ketika memandu jauh. Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik 10 hala dengan sokongan lumbar, manakala penumpang menikmati ruang kaki yang luas.




























