Piston.my

BMW Malaysia dan Gentari Membekalkan The Exchange TRX dengan Stesen Pengecas EV

BMW Group Malaysia, dengan kerjasama Gentari Sdn Bhd (Gentari) melalui anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd, telah membawakan kemudahan pengecas EV baharu di hab gaya hidup terkemuka baharu negara, pusat beli-belah The Exchange TRX. Pelancaran kemudahan terbaharu ini menandakan satu lagi langkah penting dalam misi pengeluar kenderaaan premium ini ke arah mengukuhkan ekosistem kenderaan elektrik (EV) Malaysia.

 Ditempatkan dengan strategik di parkir aras bawah tanah The Exchange TRX, kemudahan pengecas EV baharu ini mempunyai gabungan tiga belas unit pengecas arus ulang alik (AC) 22kWh, menawarkan pemilik EV kemudahan yang pantas dan efisien untuk mengecas kenderaan mereka semasa berkunjung ke pusat beli-belah mewah tersebut. Lima unit pengecasan ditempatkan di aras Premium Parking, dengan baki lapan unit di Aras B1.

Sehingga kini, BMW Group Malaysia telah menyediakan lebih 2,020 kemudahan pengecas dalam rangkaiannya untuk pelanggan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pembekal pengecas EV di Malaysia. Melalui kerjasama dengan pemain industri yang berpengaruh, BMW Group Malaysia memperlihatkan komitmen terhadap misinya untuk membentuk masa hadapan mobiliti di negara ini. Selain itu, lebih 100 kemudahan pengecas BMW i dan MINI juga disediakan di kebanyakan pengedar sah serta rakan lokasi di seluruh negara, dengan lebih banyak lagi akan datang sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan infrastruktur strategik yang dirancang untuk tahun hadapan.

Sementara itu, sebagai pengendali titik pengecas terkemuka di Malaysia, Gentari telah diiktiraf sebagai Operator Titik Pengecas Terbaik pada anugerah Car of the Year (COTY) 2023. Syarikat ini mengendalikan rangkaian pengecas arus terus (DC) terbesar di Malaysia, dengan lebih 100 pengecas pantas DC daripada sejumlah lebih daripada 335 titik pengecas EV awam dan persendirian.

Menurut maklumat awam yang didapati di laman web Suruhanjaya Tenaga, Gentari juga membangunkan rangkaian terbesar pengecas berlesen, mengukuhkan komitmennya terhadap keselamatan dan peraturan. Di samping itu, melalui platform tenaga bersih ‘Gentari Go’ yang dilancarkan baru-baru ini, kerjasama perayauan rentas sempadan yang dibina Gentari membolehkan pengguna mengakses lebih 2,000 pengecas di seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand.

 Stesen pengecas di The Exchange TRX boleh diakses oleh pemilik kenderaan elektrik dari 10 pagi sehingga 10 malam pada setiap hari, dengan kadar pengecasan berharga RM0.25 seminit.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan